Tuduhan oleh Percival Henry_Gordon_Bennett

Percival dan Bennett

Apabila tawanan perang dibebaskan lewat tahun 1945 selepas tamat perang, Percival menghantar surat kepada Blamey menuduh Bennett telah melepaskan pemerintahannya ke atas Divisyen ke-8 Australia di Singapura dengan cara tidak sah. Blamey tidak mengetepikan surat ini, sebaliknya menyuruh siasatan dibuat di atas tuduhan itu.

Blamey menubuhkan satu badan siasatan di bawah Mejar Jeneral V. P. H. Stanke, Adjutant General Tentera Australia yang akhirnya mendapati Bennett tidak patut menyerahkan pemerintahan Tentera Australia kepada Brigedier Jeneral C. A. Callaghan dan tidak sepatutnya meninggalkan Singapura. Keputusan ini ditentang oleh bekas-bekas anggota Divisyen ke-8 Australia kerana melihat siasatan itu sebagai satu siasatan ke atas prestasi Divisyen ke-8 Australia keseluruhannya.

Dalam bulan November 1945, Perdana Menteri Ben Chifley menubuhkan Suruhanjaya Diraja di bawah pimpinan hakim Sir George Ligertwood. Hasil siasatan Suruhanjaya tidak melepaskan Bennett daripada kesalahannya dan merumuskan Bennett mengingkari perintah Percival untuk menyerah kalah.

Sebab yang diberikan Bennett bahawa beliau sudah mempelajari cara untuk mengalahkan Tentera Jepun dan dia terpanggil untuk melarikan diri ke Australia supaya ilmu yang beliau perolehi boleh disampaikan kepada pihak Tentera Australia untuk disebarkan kepada lain-lain panglima. Apabila disoal mengenai prestasi tidak memuaskan pasukan pimpinan beliau di Tanah Melayu, Bennett berkata dia dihampakan oleh prestasi tidak baik unit-unit Tentera British dan Tentera British India. Tetapi kajian menunjukkan kebolehan dan pimpinan Bennett sendiri tidak melebihi mana-mana panglima di Tanah Melayu, termasuklah panglima-panglima yang dikecam Bennett.

Taktik perang yang digunakan Bennett sudah ketinggalan dan tidak sesuai digunakan dalam kancah peperangan moden. Sikap prasangka Bennett kepada pegawai-pegawai khidmat tetap dan cita-cita peribadinya menyebabkan pertimbangan dab budibicaranya tergugat dan tidak dapat dibuat dengan saksama. Dana paila dia gagal mencapai apa yang dihajatkan, Bennett menyalahkan pihak lain sebagai penyebab kegagalan beliau.